24 Jul 2013

MAYC Buat Laporan Polis Terhadap Calon PAS Kuala Besut.

23/07/13-Kuala Besut, kira-kira jam 11.30 malam, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Besut oleh MAYC terhadap calon PAS pilihanraya kecil DUN negeri Terengganu.

Laporan polis dibuat berikutan PAS telah menganjurkan "JOM ISI PETROL PERCUMA" sempena kempen pilihanraya di stesen minyak Caltex Kampung Nail disebelah petang.

Menurut Presiden MAYC Kebangsaan En. Hasri, kempen "Jom Isi Petrol Percuma" yang hanya melibatkan penunggang motosikal berumur 21 tahun ke atas merupakan satu rasuah pilihanraya yang dilakukan oleh PAS Kuala Besut.

PAS dilihat semakin ketandusan idea untuk meraih undi penduduk Kuala Besut yang merupakan penyokong kuat Barisan Nasional sehingga mereka sanggup merasuah penduduk Kuala Besut dengan petrol percuma.

MAYC menggesa agar pihak SPR mengambil maklum akan perkara yang berlaku bagi mengelakkan rasuah pilihanraya ini terus berlaku di negara Malaysia.



23 Jul 2013

PAS Pusat Tolak Gesaan Haji Hadi Jadi MB.


BESUT: PAS Pusat menolak gesaan Dewan Ulama parti itu yang mahu Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diangkat sebagai Menteri Besar sekiranya pakatan pembangkang berjaya menyamakan jumlah kerusi dengan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, parti itu kekal dengan pendirian mahu BN terus menerajui kerajaan negeri walaupun PAS berjaya memperoleh kerusi ke-16 selepas memenangi pilihan raya kecil DUN Kuala Besut.
"Ketetapan ini bukan dibuat oleh Dewan Ulama, ia telah pun diputuskan bahawa PAS tidak menuntut jawatan berkenaan. Bagaimanapun kita hormati pandangan tersebut," katanya pada sidang media di markas PAS di sini, Selasa.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Dewan Ulama PAS, Dr Khairuddin Aman Razali yang menggesa supaya Abdul Hadi diangkat menjadi Menteri Besar Terengganu berdasarkan pengalamannya sebelum ini.
Gesaan ini dilihat bertentangan dengan pendirian terbuka Abdul Hadi pada Jumaat lalu yang membayangkan bahawa beliau tidak berminat untuk merebut jawatan Menteri Besar jika PAS berjaya memenangi pilihan raya kecil DUN Kuala Besut.
Mengulas lanjut mengenai perkata itu Dzulkefly berkata, isu pelantikan Menteri Besar tidak timbul walaupun PAS mensasarkan untuk mewujudkan 'DUN Tergantung'.
"Datuk Seri Abdul Hadi mungkin adalah calon yang tepat (sebagai Menteri Besar), tapi itu bukan isu," katanya.
Abdul Hadi pada masa ini merupakan penyandang kerusi DUN Rhu Rendang juga Ahli Parlimen Marang.
-mstar

22 Jul 2013

Peratusan Nelayan Sokong Barisan Nasional Tinggi.


22 Julai- Kuala Besut, Terengganu. Barisan Nasional Besut yakin bahawa DUN Kuala Besut merupakan deposit tetap kerusi Barisan Nasional bagi negeri Terengganu.

Sepanjang tempoh kempen pilihanraya kecil N.01 Kuala Besut berlansung, secara kasar kelihatan para pengundi terutama nelayan dilihat banyak memihak kepada parti Barisan Nasional.

Keluarga nelayan antara penyumbang utama undi kepada Barisan Nasional setiap kali pilihanraya berlansung berikutan dana bantuan yang telah banyak diberikan oleh kerajaan sedia ada.


Tarikh 24 Julai ini, parti Barisan Nasional yakin keputusan pilihanraya kecil DUN Kuala Besut ini akan memihak kepada mereka dengan jumlah undi majoriti yang meningkat.

Kempen 16:16 Banyak Bantu PAS.


22 Julai- Kuala Besut, Terengganu. PAS terus konsisten menjadikan angka kerusi DUN nisbah 16:16 dalam setiap aktiviti kempen mereka sepanjang pilihanraya kecil DUN Kuala Besut.

Kempen 16:16 ini bukan sahaja diperhebatkan melalui ceramah umum, namun ianya turut diperbanyakkan secara poster atau kain rentang sekitar Kuala Besut.


Melalui kempen 16:16 tersebut, PAS yang diketui oleh Husam Musa begitu yakin ianya dapat meraih sokongan undi terutama orang muda yang mahukan perubahan bagi kerajaan negeri Terengganu.


Tempoh kempen yang berbaki dua hari digunakan sebaik mungkin oleh kedua-dua parti dalam meraih undi masyarakat Kuala Besut yang akan keluar mengundi pada 24 Julai ini.


21 Jul 2013

Kempen Pilihanraya Kecil Kuala Besut Hambar.


21 Julai; Besut, Terengganu. Baki tempoh berkempen pilihanraya kecil N.01 DUN Kuala Besut yang tinggal 3 hari digunakan sepenuhnya oleh kedua-dua parti yang bertanding iaitu Barisan Nasional dan PAS dengan menganjurkan pelbagai program bagi meraih undi masyarakat.

Faktor tempoh berkempen di bulan Ramadhan dilihat menjadikan suasana kempen tidak begitu aktif terutama pada waktu siang.

Kedua-dua pihak lebih cenderung memilih waktu malam untuk melakukan aktiviti kempen seperti ceramah umum dan majlis iftar bersama pengundi.


Tarikh buang undi telah diputuskan oleh suruhanjaya piliharaya pada 24 Julai 2013. Pilihanraya kecil ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon PAS Azlan dengan Barisan Nasional Ku Zaihan.

Piliharaya kecil ini dilaksanakan berikutan kematian penyandang wakil rakyat Barisan Nasional Dr. Rahman akibat penyakit kanser paru-paru.


Pulau Perhentian Akan Terus Nikmati Pembangunan.

Pulau Perhentian

KUALA BESUT - Pulau Perhentian akan terus menikmati pembangunan dengan kepercayaan dan sokongan berterusan yang diberikan penduduknya terhadap Barisan Nasional (BN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
   
Menegaskan bahawa kesetiaan masyarakat pulau itu tidak pernah diragui, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau yakin penduduk dapat melihat sendiri dan menikmati pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan oleh BN.
   
"Saya beri jaminan bahawa pembangunan dan pembaharuan akan terus dilakukan di masa depan dan sebagai pulau pelancongan ke-13 tercantik di dunia saya ingin lihat lebih banyak hotel dan kemudahan dibina," katanya sebelum berbuka puasa bersama penduduk di Masjid Pulau Perhentian di sini.
   
Majlis anjuran Jawatankuasa Masjid Pulau Perhentian dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Besut itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh dan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
   
Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Norainee Abd Rahman.
 
Muhyiddin juga memohon kerjasama penduduk yang akan keluar mengundi Rabu ini supaya memberikan sokongan kepada calon BN bagi memastikan pembangunan yang dirancang kerajaan dapat diteruskan dengan lancar.
   
"Calon kita ini tidak hanya akan datang ke sini hari ini sahaja tetapi saya janji beliau akan terus datang lagi apabila diumumkan sebagai pemenang bagi melihat dengan lebih dekat bentuk keperluan yang diperlukan penduduk," katanya.
   
Dalam pada itu, Ketua Kampung Zainudin Mohamad ketika mengalu-alukan kedatangan Muhyiddin turut berikrar untuk meneruskan tradisi sokongan kepada BN dengan memberikan kemenangan dengan majoriri lebih besar pada hari pengundian nanti.
   
Katanya ikrar itu sebagai tanda terima kasih penduduk atas kesudian Timbalan Perdana Menteri dan isteri yang sanggup meredah Laut China Selatan ke perkampungan mereka.
   
Muhyiddin dan rombongan kemudiannya berbuka puasa dengan hidangan tradisi seperti daging masak singgang dan salok lada sebelum sembahyang Maghrib.
   
Timbalan Perdana Menteri kemudiannya menyertai tahlil diikuti solat Isyak dan bertarawih bersama penduduk.  

- Bernama

PAS Gagal Tarik Orang Ramai Dengar Ceramah PRK Kuala Besut.

Walaupun Pas membawa nama-nama besar bagi membantu jentera dan gerak kerja kempen Kuala Besut, namun ia tetap GAGAL menarik simpati dan sokongan rakyat khususnya para pengundi.
Sebagai contoh, portal MyKMU sebelum ini pernah melaporkan ceramah ‘ayam sambung’ parti itu yang juga merupakan Timbalan Presiden Pas, hanya mampu mengumpulkan sekitar 200 orang sahaja.
Seperti tidak percaya dengan sambutan yang diterima itu, Pas terpaksa ‘mengusung’ Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membantu menarik sokongan pengundi. Walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan kerana keuzuran, bekas Menteri Besar Kelantan itu terpaksa memenuhi jemputan tersebut.
Ini kerana dia terpaksa mengotakan apa yang pernah dikatakan suatu ketikia dahulu untuk membantu parti walaupun terpaksa mengunakan kerusi roda.
Namun mereka hanya mampu merancang, tetapi Allah swt adalah sebaik perancang. Ceramah yang disampaikan oleh Nik Aziz malam tadi turut GAGAL menarik sokongan masyarakat.
Dianggarkan hanya sekitar 1,000 orang sahaja yang hadir di ceramah yang diadakan di Kampung Beris Pok Abu malam tadi.
Lebih mengecewakan penyokong dan mereka yang hadir ialah, Nik Aziz hanya mampu bercakap sekitar 20 minit sahaja, sebelum terpaksa berhenti kerana kepenatan. Tambah menarik apabila majoriti yang hadir pada malam itu adalah merupakan rakyat Kelantan yang tinggal berhampiran Kuala Besut.
Salah seorang pengunjung yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Pok Ye mengatakan dia telah diarahkan oleh kepimpinan di kawasan Machang untuk hadir pada ceramah yang diadakan itu. Ia antara lainnya bertujuan untuk menunjukkan kononnya ceramah yang diadakan mendapat sambutan.
“Kami dapat arahan untuk hadir. Mereka maklumkan Tok Guru akan datang untuk ceramah dan semua ahli parti diminta hadir untuk meramaikan program.
“Jentera kawasan dikatakan ada masalah, jadi penyokong dan ahli dikawasan sekitar perlu turun untuk bantu menangkan calon kita” katanya.
Namun apa yang menghairankan ialah, ceramah malam tadi turut dihadiri oleh calon Pas Azlan @ Endut, tetapi kehadirannya seolah tidak memberi sebarang makna dan kesan. Ini kerana dia langsung tidak diberi peluang untuki bercakap sepatah dua kata atau setidak-tidaknya menerangkan mengenai visi dan misinya sekiranya dipilih oleh pengundi pada 24 Julai ini.
Sedang umum mengetahui, dalam mana-mana pilihanraya kecil mahupun umum, faktor calon adalah menjadi keutamaan penting. Malah ada kalanya parti yang tidak popular juga mampu menang sekiranya calon yang diketengahkan diterima pengundi.
Persoalannya, apakah kepimpinan Pas tidak mengetahui akan perkara ini? Atau sememangnya mereka juga tidak berapa setuju dengan pemilihan ‘calon cari makan’ ini diletakkan bagi mewakili Pas.
Tapi apakan daya, inilah yang dinamakan politik, siapa yang pandai melobi maka dialah menang. Atau mungkin juga perintah darurat yang dikenakan ke atasnya untuk mendiamkan diri masih belum berakhir.
- BERUANG BIRU